23 November 2009

Saya Akan Menjadi Seorang Ayah!

Alhamdulillah syukur kepada Allah s.w.t kerana mengurniakan saya rezeki yang amat saya tunggu-tunggu ini. Isteri saya telah disahkan hamil hampir 2 bulan. Mula-mula kami buat ujian sendiri seperti keputusan dalam gambar tu, tak puas hati terus ke klinik buat pemeriksaan dengan doktor memang sah saya akan menjadi ayah.

Ini adalah anak pertama kami syukur sangat-sangat. Setelah setahun setengah berkahwin dan menerima asakan dari keluarga.....bila nak dapat anak ni?.....hehehe saya dan isteri insyallah akan dikurniakan anak sekitar penghujung bulan 6 tahun 2010 errr....time World Cup rasanya ni......sambil jaga baby sambil tengok bola.

20 Julai 2009

"Dollar Cost Averaging"- Jangan Guna Sebarangan Siri 2

Sambungan dari siri 1 dimana seorang pelabur didekati oleh perunding unit amanah yang mencadangkan kepada beliau untuk menambah pelaburan ketika pasaran saham merosot dan mempraktikkan dollar-cost averaging.

Istilah dollar-cost averaging yang diperkenalkan oleh perunding tersebut adalah satu strategi pelaburan unit amanah. Walaubagaimanapun strategi ini didapati tidak mengambil kira prestasi dana pelaburan pelabur terbabit. Disebabkan itulah kita jangan membuta tuli mempraktikkan strategi ini tanpa mengkaji kebenarannya. Dalam strategi terbabit, diandaikan dana terbabit semuanya tiada masalah kecuali harganya atau NAV sahaja yang merosot dan diyakini akan meningkat kembali. Itulah asas dalam penggunaan strategi ini.

Baiklah apa yang perlu kita lakukan jika NAV dana pelaburan kita merosot?. Jawapannya bertenang dan tarik nafas dalam-dalam.....pastikan anda masih mampu bernafas. Jangan tergopoh gapah terus menambah pelaburan ketika ini. Berikutnya lihat prestasi dana pelaburan kita itu betul-betul. Jika NAVnya jatuh kerana Bursa Saham Malaysia juga jatuh jadi tidak ada sebab anda berasa panik (andaikan dana pelaburan unit amanah kita adalah untuk sektor tempatan). Jika pasaran saham merosot maka nilai pelaburan unit amanah juga merosot kerana ia berkait dengan pasaran saham. (dana pelaburan tersebut dilaburkan pada pasaran saham)

Teruskan menyiasat dana unit amanah anda, bandingkan dengan dana yang mempunyai objektif yang sama. Jika dana anda berada dalam kelompok atas prestasi dana-dana tersebut bermakna dana anda masih lagi relevan. Betul nilainya telah jatuh tetapi ia disebabkan pasaran saham bukannnya prestasi dana pelaburan yang anda pilih itu. Jika matlamat dan prestasi dana tersebut masih sama anda boleh menimbang untuk membeli lagi unit-unit tambahan dan mempraktikkan dollar-cost averaging dalam keadaan tersebut.

Akan tetapi jika anda mendapati prestasi dana anda berada dibawah atau tidak menunjukkan prestasi yang baik sehingga ketika pasaran saham jatuh, mungkin anda boleh menimbang untuk tidak menggunakan strategi dollar-cost averaging atau sebaliknya anda boleh menimbang untuk menjual semua unit-unit anda. Mengapa anda masih bergantung pada dana yang lemah sifatnya?

Kesimpulannya jangan menggunakan dollar-cost averaging sebarangan. Pasaran naik dan turun adalah normal, jika anda tahu apa yang anda lakukan anda akan meraih keuntungan akhirnya.

20 Jun 2009

"Dollar Cost Averaging"- Jangan Guna Sebarangan Siri 1

Ramai rasanya pernah mendengar "dollar cost averaging" terutamanya yang biasa mendengar "sales pitch" dari perunding unit amanah.

Saya pasti tahun 2008 "sales pitch" perunding unit amanah berbunyi sebegini: "Encik! awak memang bertuah....." kata perunding.

"Kenapa pulak?" tanya pelanggan unit amanahnya. "Pasaran saham telah jatuh merudum!" jawab si perunding. Berkerut dahi si pelanggan. "Kenapa itu bagus? Sepatutnya saya pengsan sebab nilai pelaburan unit amanah saya sudah jatuh merudum jugak."

"Ya, itu betul. Tapi itulah yang bagusnya. Kerana nilai pelaburan unit amanah encik telah jatuh, maknanya inilah masanya untuk menambah pelaburan."

Kali ini bukan setakat dahi si pelanggan berkerut tetapi matanya pun dah terbeliak. "Encik, NAV (net asset value) sudah jatuh menjadi rendah. Ini bermakna encik akan mendapat lebih banyak unit untuk jumlah pelaburan yang sama sebelum ini. Jika encik praktikkan "dollar cost averaging", encik akan menurunkan jumlah kos pelaburan dengan ketara. Saya fikir tidak ada masa lain selain sekarang untuk encik tambah lebih banyak pelaburan dan peluang ini datang sekali saja dalam seumur hidup!" si perunding menambah dengan yakin.

Si pelanggan pula teringat setahun sebelumnya, semasa pasaran saham memuncak naik, si perunding juga menasihatkannya untuk menambah pelaburan. "Nilai pelaburan encik telah naik. Maknanya encik tengah untung sekarang ni, jadi encik patut tambah lagi pelaburan!".

Si pelanggan keliru. Semasa pasaran saham melonjak naik, perunding memberitahunya ini masa yang terbaik untuk melabur. Akan tetapi apabila pasaran menjunam, perunding juga memberitahunya ini masa terbaik untuk melabur. Senang cerita, bila-bila masa pun adalah masa terbaik untuk melabur............keliru, keliru.

Bersambung

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008